Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersetuju untuk menghantar delegasi peringkat tinggi ke wilayah Rakhine di Myanmar untuk mengkaji situasi dan masalah minoriti Islam Rohingya di negara itu.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata keputusan itu dicapai selepas Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar, di sini hari ini.

Anifah berkata penilaian antarabangsa mengenai situasi yang berlaku di wilayah Rakhine memberi kelebihan kepada kerajaan Myanmar kerana ia boleh menangkis tuduhan negatif yang mengaitkannya dengan penyalahgunaan kuasa dan kekejaman terhadap etnik itu.

"Dalam usaha untuk memastikan realiti, mengapa tidak kerajaan Myanmar menerima pasukan bebas untuk menilai sama ada apa yang diperkatakan benar-benar berlaku atau ia hanya propaganda.

"Ia merupakan penyelesaian terbaik dan kita boleh menggerakkan usaha dari situ," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat sehari itu berakhir, dengan harapan kerajaan junta bersetuju membenarkan lawatan tersebut.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur juga meminta kerajaan Myanmar memberi respon kepada gesaan negara-negara anggota OIC dan segera menghentikan krisis yang berlarutan.

"Kita akan mengemukakan (permintaan OIC) kepada kerajaan Myanmar dan sekarang terserah kepada mereka. Ini adalah permintaan 1.6 bilion umat Islam. Lebih awal mereka bertindak, maka adalah lebih baik.

"Yang paling penting ialah pembunuhan mesti dihentikan. Kita tidak boleh membiarkan ia berterusan. Myanmar ialah jiran terdekat Malaysia. Kita menggesa Myanmar mengkajinya dan segera menangani isu itu.

Anifah berkata sesi luar biasa OIC hari ini adalah produktif dan semua objektif yang digariskan telah dipenuhi.

"Sekarang apa yang perlu kita lakukan ialah menterjemahkan kata-kata itu menjadi kenyataan. Nasib minoriti Islam Rohingya di Myanmar tidak boleh diabaikan," kata beliau.

Sebanyak 41 daripada 57 negara anggota OIC menghadiri mesyuarat tersebut dengan lapan negara diwakili Menteri Luar mereka manakala selebihnya diwakili oleh pegawai kanan.

Mengulas mengenai sumbangan Malaysia sebanyak RM10 juta untuk membantu misi kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di wilayah Rakhine, Anifah berkata usaha untuk mencapai keamanan dan kemanusiaan di kawasan konflik tidak boleh dinilai dengan bantuan kewangan.

"Malaysia merupakan sebuah daripada negara yang prihatin bukan sahaja kepada nasib masyarakat Islam Rohingya tetapi juga masyarakat lain di Congo, Bosnia apabila kita memainkan peranan positif.

"Apabila kita bercakap mengenai dana RM10 juta, ia adalah jumlah yang kecil. Sejumlah kecil dibelanjakan untuk kesejahteraan manusia. Kita juga harus ingat bahawa kita juga manusia," katanya.

Ikrar itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal hari ini dan membayangkan bahawa dana itu akan digunakan untuk membina infrastruktur, seperti institusi pendidikan dan perubatan.

Menurut laporan, krisis yang berlarutan di wilayah Rakhine menyebabkan ribuan masyarakat Rohingya melarikan diri dari Myanmar di tengah-tengah laporan mengenai kekejaman, termasuk rogol dan pembunuhan, yang dinafikan oleh kerajaan Myanmar.

Mesyuarat luar biasa hari ini diadakan dengan tiga dokumen dikeluarkan; resolusi, pernyataan bersama dan Deklarasi Kuala Lumpur untuk menunjukkan negara anggota bersatu dalam pendirian mengenai isu Rohingya. -- Bernama