Oprah Winfrey akhirnya menjawab segala persoalan sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2020, dengan berkata bahawa dia “pasti tidak akan bertanding”.

Pengumuman itu dibuat sewaktu muncul sebagai tetamu program bual bicara lewat malam, Jimmy Kimmel Live.

“Kamera mana saya nak pandang ni? Saya tidak sama sekali akan bertanding untuk jawatan Prsiden (AS),” kata Winfrey yang disambut dengan jeritan ‘No’ (Tidak) dari penonton studio.

Bulan lalu, para peminat Winfrey menggesa mogul dunia penyiaran itu untuk bertanding pilihan raya Presiden AS tahun 2020 untuk memberi tentangan kepada Donald Trump, selepas Winfrey memberi ucapan penuh bermakna ketika menerima anugerah Golden Globe.

Winfrey menyifatkan cadangan yang diletakkan padanya itu suatu perkara yang merendahkan hatinya.
“Adalah suatu yang menarik apabila ada orang beranggapan anda boleh mentadbir negara,” ujarnya.
Bagaimanapun, Winfrey mengakui, beliau pernah memikirkannya.

"Saya sejenis orang yang mendengar sebarang petanda. Saya fikir, adakah saya perlu mentadbir negara ini? Tak mungkin,” katanya lagi.

Winfrey, yang mesra dengan panggilan nama pertamanya Oprah, meraih kemasyhuran sebagai hos program televisyen, TV kabel dan radio satelit. Dilahirkan dalam serba kemiskinan, beliau kini antara wanita paling kaya di dunia dan pernah dua kali dicalonkan dalam Anugerah Academy. Beliau lama dikaitkan dengan pelbagai program Parti Demokrat.

Trump banyak kali berkata beliau berharap dapat berdepan Winfrey dalam pilihan raya presiden.
Sebelum ini, Trump tidak berpuas hati terhadap Winfrey berkenaan segmen program terbitan CBS, ‘60 Minutes’.

Dalam program itu, Winfrey mengetuai panel yang terdiri daripada 14 wakil pengundi Republikan, Demokrat dan bebas yang membincangkan tentang setahun pentadbiran Trump.

Menerusi Twitternya, Trump berkata: “Saya baru saja melihat Oprah Winfrey, yang menemu bual sekumpulan orang dalam 60 Minutes, Soalan-soalannya sangat ebrat sebelah dan faktanya salah, Saya harap Oprah bertanding (untuk pilihan raya) supaya sifatnya akan didedah kepada umum dan dia akan dikalahkan seperti orang lain!”

Apabila Kimmel bertanya sama ada Winfrey alan membalas tweet tersebut, Winfrey menjawab: “Tidak sama sekali. Anda tidak akan menang apabila sifat negatif bertembung.”