Tentera Filipina percaya pihak berkuasa Malaysia telah berjaya menembak mati salah seorang anggota kanan kumpulan militan Abu Sayyaf yang diburu, susulan insiden tembak-menembak di perairan Sabah.

Anggota terbabit yang dikenali sebagai Abraham Hamid turut dikatakan menjadi dalang kepada insiden penculikan beberapa warga asing dari pusat peranginan di Selatan Filipina tahun lalu, termasuk insiden memenggal dua dari mangsa culik.

"Kematian Hamid adalah satu tamparan buat kumpulan Abu Sayyaf kerana ia dapat menghapuskan salah seorang anggota penting militan dan melemahkan keupayaan keupayaan kumpulan itu untuk mengenal pasti mangsa culik di masa hadapan,” kata jurucakap tentera Filipina, Mejar Filemon Tan.

BACA: 3 lelaki dipercayai penculik ditembak mati di perairan Lahad Datu

BACA: Kerjasama dengan Filipina kenal pasti identiti mangsa culik - PM Najib

Selain Hamid, dua anggota militan lain turut ditembak mati oleh polis dalam insiden di Lahad Datu pada Khamis selain menahan dua lagi anggota kumpulan itu.

Seorang anggota keselamatan daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai terkena tembakan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika kumpulan itu cuba melakukan penculikan di kawasan perairan antara Merabung-Bakapit, dekat Lahad Datu.