Sejak beberapa tahun lepas, pihak berkuasa berhempas pulas berusaha untuk menyekat pengaliran masuk minyak seludup berharga murah dari Malaysia, yang memberi pendapatan berjumlah berbilion Baht kepada mereka yang terbabit dengan aktiviti ekonomi haram di selatan Thailand.

Sebahagian besar daripada punca kegagalan kerajaan dalam menyekat perniagaan haram itu adalah penglibatan ahli politik tempatan dan orang berpengaruh yang didakwa mendalangi raket tertentu berbekalkan kedudukan mereka yang sangat berkuasa.

"Perniagaan secara haram ini tidak dapat beroperasi tanpa orang ini (ahli poilitik tempatan dan orang berpengaruh). Pihak berkuasa tidak dapat menangkap mereka ini kerana ada orang yang sanggup mengaku bertanggungjawab tentang aktiviti itu jika kami cuba menangkap mereka," kata Jen Piyawat Nakwanich kepada Bernama baru-baru ini.

Pemerintah Tentera Wilayah Keempat itu, bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti ahli politik dan orang berpengaruh, yang didakwa mendalangi kartel di sebalik perniagaan minyak secara haram berkenaan.

Perbezaan besar antara harga petrol dan diesel di Malaysia dan Thailand menyebabkan minyak Malaysia sentiasa menjadi sasaran utama penyeludup dari Thailand serta orang 'kuat' mereka yang ingin meraih keuntungan besar melalui perniagaan di pasaran gelap.

Di Malaysia, harga diesel ialah RM2.18 seliter dan petrol RON 95 RM2.20 seliter, manakala petrol premium RON 98 pula RM2.58 seliter. Di Thailand, harga diesel, gasohol 95 dan gasohol 91 yang sering digunakan trak pikup dan kereta, masing-masing Baht 29.19 (kira-kira RM3.64), Baht 29.65 (kira-kira RM3.70) dan Baht 29.38 (kira-kira RM3.67) seliter.

Pengaliran masuk minyak Malaysia yang berharga lebih murah ke selatan Thailand melalui jalan tikus di sepanjang sempadan kedua-dua negara menjadi perhatian utama Putrajaya dan mendorongnya mengambil beberapa langkah untuk mengatasi perkara itu dengan segera, termasuk meningkatkan pemeriksaan di sempadan.

Piyawat, yang bertanggungjawab bagi keseluruhan keselamatan di selatan Thailand, berharap usaha pihak berkuasa menghapuskan perniagaan minyak seludup di wilayah selatan negara ini akan berhasil, terutama jika para pegawai tidak melayan sebarang cubaan untuk menutup mulut mereka melalui rasuah.

"Jika pihak berkuasa tidak terlibat dengan rasuah, kami akan dapat menutup dan merosakkan perniagaan (haram) mereka," katanya serta menjelaskan bahawa penyeludup menggunakan pelbagai cara untuk membawa masuk minyak ke selatan Thailand.

Beliau berkata minyak seludup bukan sahaja dibawa dengan trak pikup yang diubah suai untuk menyeberangi sempadan Thailand-Malaysia, tetapi juga dengan bot ikan yang mendapat bekalan daripada kapal yang berlabuh di perairan antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, langkah mengetatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan sempadan telah membuahkan hasil.

Menurut Piyawat, perniagaan minyak seludup perlu disekat kerana ia memberi kesan negatif terhadap ekonomi tempatan dan "menakutkan" peniaga tulen untuk membuka stesen minyak berlesen di selatan Thailand.

Kemungkinan terpaksa bersaing dengan peniaga minyak haram, yang menawarkan petrol atau diesel yang sama kualiti pada harga jauh lebih rendah, bukanlah sesuatu yang menarik bagi ahli perniagaan yang ingin membuka stesen minyak secara berlesen di selatan Thailand.

Piyawat berkata langkah menghapuskan perniagana minyak secara haram juga akan meningkatkan keuntungan yang dinikmati pengusaha stesen minyak di selatan negara ini, manakala kerajaan pula akan mendapat lebih banyak hasil melalui pungutan cukai.

Baru-baru ini, pihak berkuasa merampas kira-kira 100,000 liter minyak seludup melalui operasi dengan agensi kerajaan lain.

Bulan lepas, empat anggota tentera ditangkap dan dibuang kerja selepas mereka didapati antara 18 orang yang ditangkap bersama hampir 50,000 liter minyak seludup di selatan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan, memerintahkan siasatan penuh dibuat tentang perkara itu, manakala pihak berkuasa mungkin menahan lebih banyak suspek berikutan rampasan minyak tersebut.

-- BERNAMA