SYARIKAT rantaian makanan segera terkemuka dunia, McDonald’s Corp mengesahkan telah memecat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Steve Easterbrook selepas menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang kakitangannya.

Menurut McDonald’s dalam satu kenyataan, tindakan tersebut diambil berikutan Easterbrook, 52, didakwa melanggar polisi syarikat, yang tidak membenarkan CEO mempunyai hubungan dengan mana-mana kakitangan syarikat.

Susulan pemecatan tersebut, restoran terbesar dunia itu melantik bekas presiden McDonald’s Amerika Syarikat (AS), Chris Kempczinski, sebagai CEO baharu berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Easterbrook menerusi emel kepada kakitangannya mengakui hubungan tersebut merupakan “satu kesilapan” yang bertentangan dengan dasar syarikat.

“Mengambil nilai syarikat ini, saya bersetuju untuk mengundurkan diri,” demikian katanya.

Easterbrook pernah bercerai dan memulakan kerjaya dengan McDonald’s pada tahun 1993 sebagai pengurus di London sebelum dinaikkan pangkat.

Beliau dilantik sebagai CEO McDonald’s Corporation pada tahun 2015. - Agensi