Gara-gara berdiri dalam kenderaan dengan separuh badan terkeluar dari sunroof (bumbung suria) kereta, seorang remaja maut apabila merempuh palang besi yang merentangi sebuah lebuh raya di China.

Remaja lelaki berusia 13 tahun yang dikenali dengan nama Zhong itu, tidak sempat mengelak ketika kereta melalui bawah palang penentu ketinggian (height clearance bar), dan dilaporkan meninggal dunia serta-merta.

Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai kemalangan, namun siasatan masih berjalan.

Insiden ngeri itu berlaku sekitar jam 5 petang 29 Oktober lalu di Xinyu, wilayah Jiangxi, mengikut maklumat yang diberi pihak polis Xinyu menerusi akaun media sosial rasmi mereka.

Kereta itu sedang menghala ke arah pusat bandar Xinyu apabila Zhong berdiri menerusi bumbung sunroof kereta yang dinaikinya.

Video insiden berjaya dirakam seorang pengguna lebuh raya, dan sedang tular beberapa hari ini.

Menurut laporan stesen televisyen China Central, pemandu kenderaan itu bukan ibu bapa Zhong, namun penjaga remaja itu dikatakan ada bersama di dalam kereta terbabit dan duduk di tempat duduk belakang.