Pakatan lapan parti pembangkang Mesir dan 150 aktivis pro-demokrasi diketuai bekas calon pilihan raya presiden, Hamdeen Sabahy mendesak rakyat negara itu memboikot pilihan raya presiden yang dijadual Mac depan.

Desakan boikot dibuat kerana mendakwa pengendalian pilihan raya itu masih berteraskan tradisional dan menyebelahi pemerintahan diktator.

Desakan ini juga dikemukakan beberapa hari selepas Gerakan Demokratik Awam meminta pengundi tidak terlibat dalam sistem demokrasi berkenaan dan tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya tersebut.

Gerakan berkenaan terdiri daripada lima pemimpin pembangkang, termasuk calon Presiden 2012, Sami Annan.

"Adalah tidak wajar buat kita untuk menyerah dan menerima sahaja kebodohan yang berlaku ini," kata tokoh pembangkang veteran Abdel-Galeel Mustafa pada sidang media di Kaherah.

Hamdeen Sabahy, yang berada di tempat kedua pada Pilihan Raya Presiden pada 2014, turut mendesak kumpulan pro-demokrasi lain untuk menyertai pakatan berkenaan.

"Kita sewajarnya bersatu. Ini adalah detik untuk rakyat menentukan keinginan mereka," jelas Hamdeen.

Kerjasama pakatan lapan parti ini bermula ketika revolusi rakyat pada 2011, yang menamatkan pemerintahan 29 tahun Presiden Hosni Mubarak.

Pakatan sama turut menyokong protes besar-besaran pada 2013 menentang Presiden Mohammed Morsi, yang membuka jalan untuk pemerintahan tentera mengambil alih selepas penyingkiran Morsi.

Presiden Abdel Fattah el-Sissi dijangka dapat mempertahankan jawatannya bagi penggal kedua.

Pilihan Raya Mesir lazimnya tidak mencatat peratusan keluar mengundi yang tinggi, lebih-lebih lagi keputusan pemilihan sudah dijangka rakyat.