Daerah Palangkaraya di Kalimantan tengah dan Jambi di Sumatera, masih diselimuti jerebu tebal pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua daerah itu sering berubah.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), bacaan IPU di Palangkaraya selama tiga jam hari ini iaitu dari 10 pagi hingga 1 tengah hari, menunjukkan penurunan daripada 1,000 kepada tahap sederhana di bawah 100.

Bagaimanapun, mulai jam 2 petang tadi, bacaan IPU di kawasan itu kembali melonjak kepada tahap berbahaya iaitu 774.

Bacaan IPU di Palangkaraya pernah melebihi 2,000 dan ia telah melumpuhkan semua aktiviti harian penduduknya.

Ribuan penduduk juga didakwa mengalami pelbagai jenis penyakit berkaitan pernafasan yang dipercayai berpunca akibat jerebu.

Di Jambi pula, bacaan IPU berlegar sekitar 500-600 iaitu bacaan pada tahap berbahaya dengan keadaan jerebu di daerah itu masih belum pulih berikutan kebakaran tanah gambut.