Barisan pemimpin Palestin memohon sokongan Liga Arab untuk memfailkan aduan dan saman yang akan digunakan terhadap Britain berikutan pemeteraian Deklarasi Balfour 1917 yang menyebelahi kependudukan Yahudi di Palestin.

“Hampir sekurun berlalu sejak 1917,” kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Malki dalam mesyuarat bersama Liga Arab di Mauritania pada Selasa.

Agensi berita AFP melaporkan, al-Malki menambah, persetujuan tersebut telah menjejaskan rakyat Palestin sejak sekian lama.

“Atas dasar perjanjian yang dibuat oleh pihak yang tidak memiliki tanah, kepada pihak yang tidak layak memilikinya, ratusan ribu Yahudi dari Eropah dan tempat-tempat lain memasuki Palestin dan menindas rakyat kami.

“Rakyat Palestin sudah beberapa milenia menghuni tanah ini daripada susur-galur sebelumnya,” katanya dalam ucapan bagi pihak Presiden Mahmud Abbas.

Al-Malki bagaimanapun tidak menyatakan saluran proses aduan itu akan dibuat.

Ketua Kementerian Luar Israel, Dore Gold, melalui akaun Twitternya menyifatkan usaha itu sebagai ‘tindakan terdesak untuk menafikan hak Israel’.

Pada tahun 2012, Palestin diiktiraf sebagai negara pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 2015, Palestin telah merujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk secara rasmi meminta agar jenayah Israel sepanjang perang Gaza pada tahun 2014 disiasat.

Deklarasi Balfour dimeterai pada 2 November 1917 oleh Setiausaha Luar British, Arthur Balfour yang antara lain bersetuju membuka tanah Palestin untuk kemasukan orang Yahudi.

Ia adalah langkah awal dalam pembentukan ‘negara’ Israel pada 1948.