Berita  | Dunia

Paradise yang dahulunya syurga alam, cuba bangkit selepas dibakar 'api raksasa'

Paradise yang dahulunya syurga alam, cuba bangkit selepas dibakar 'api raksasa'
Beberapa ekor rusa juga dilihat kembali ke kawasan yang musnah teruk akibat ditelan api marak bulan lalu. - Reuters
PARADISE: Ribuan penduduk bandar Paradise, California yang melarikan diri kira-kira sebulan lalu ketika kebakaran hutan dahsyat, akhirnya dibenarkan pulang ke kejiranan dan kediaman mereka.

Reuters melaporkan, sebahagian daripada penduduk tidak dapat menerima impak bencana kebakaran yang direkodkan antara yang terbesar pernah terjadi dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Tim Moniz, seorang petani dalam usia 50-an, yang meninjau semula kediamannya yang musnah di Paradise buat kali pertama, tidak dapat menahan kesedihannya.

“Rasanya seperti tidak adil apabila ada rumah yang bertahan dan selamat, sementara rumah anda habis musnah. Saya kini cuba untuk mengutip sisa-sisa yang masih boleh diselamatkan,” luahnya.

Penduduk di kawasan yang dahulunya dianggap syurga alam kerana dikelilingi hutan yang indah, kini berdepan cabaran untuk meneruskan kehidupan.
Sesetengah daripada mereka yang kehilangan tempat tinggal perlu menunggu beberapa bulan atau tahun untuk mendapatkan pampasan bagi membina semula kediaman.

Sebuah taman awam di Paradise kini sepi dan diselubungi kesan kebakaran yang teruk. - Reuters

Ketika kebakaran besar itu terjadi pada 8 November lalu, pihak berkuasa telah memindahkan kira-kira 50,000 orang dari Paradise. Bencana itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya 85 orang manakala berpuluh-puluh lagi masih belum diketahui akan nasib mereka.

Selain itu, sejumlah 14,000 kediaman telah musnah dibakar api.

Sebelum ini, arahan evakuasi di luar Paradise telah ditarik balik, namun pada Rabu keseluruhan bandar seluas 61,900 hektar itu telah dibuka semula.

Moniz adalah antara penduduk yang mahu membina semula kediaman dan kehidupan, berbanding membuat keputusan untuk berpindah terus.

"Semua rakan saya yang dalam usia 80-an, berkata mereka tidak sanggup menempuh proses untuk membina semula kediaman mereka,” ujar Datuk Bandar Paradise, Jody Jones.

Tambah Jones yang turut kehilangan rumahnya dalam kebakaran itu, berkata sesetengah penghuni kediaman hanya dapat menyelamatkan beberapa barang kemas atau perkakasan pertukangan di bawah runtuhan rumah mereka yang hangus dijilat api.

Pihak berkuasa memberi keizinan untuk pemilik kediaman tinggal semalam di hartanah mereka, namun tidak menggalakkannya kerana ketiadaan bekalan elektrik, gas dan beberapa perkhidmatan asas lain.

Pakar kesihatan dan keselamatan kini cuba membersihkan Paradise daripada elemen yang boleh membahayakan alam sekitar seperti bateri, tangki propana, bahan kimia kediaman.

Kerja pembersihan sia kebakaran dijangka mengambil masa selama sembilan bulan.

Tag: kebakaran hutan, bencana alam, paradise, california


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.