Hampir 1,500 orang telah dipindahkan dari kediaman masing-masing di Paris, setelah pihak berkuasa mengeluarkan amaran tentang kemungkinan berlaku bencana banjir besar berikutan paras air Sungai Seine meningkat mendadak pada Ahad.

Ketua Polis Paris Michel Delpuech, memberitahu wartawan bahawa sekitar 1,500 orang telah diarahkan keluar dari kediaman mereka di kawasan Ile de France dan kejiranan berdekatan yang terletak di tengah-tengah ibu kota tersebut.

"Paras air dijangka menyurut dengan perlahan," tambah Delpuech.

Air Sungai Seine dijangka meningkat ke paras tertinggi pada Ahad atau Isnin hingga boleh menyebabkan bencana banjir seperti yang pernah terjadi pada tahun 2016, kata pihak berkuasa.

Kawasan siar kaki popular di Paris kini ditenggelami air Sungai Seine yang meningkat secara mendadak. - Reuters

Air yang melimpah sekarang ini sudahpun menenggelamkan tebing sungai dan kawasan siar kaki popular di Paris.

Keadaan itu turut menjejaskan operasi Muzium Louvre yang terkenal dalam kalangan pelancong, hingga memaksa pihak pengurusan menutup dewan aras bawah tanah yang menempatkan pameran kesenian Islam.

Perkhidmatan bot pelancong "Bateaux Mouches" juga telah dihentikan sementara kerana paras air yang tinggi, manakala kumpulan angsa pula dilihat sudah 'bermain air' di kawasan yang sebelum ini bukan tempat takungan air.

Bandar raya yang terkenal dengan jolokan Ibu Kota Romantis itu juga kini dipenuhi tikus-tikus yang berkeliaran berikutan tempat persembunyian haiwan itu kini dipenuhi air.

Bencana banjir pernah melumpuhkan Paris pada tahun 1910 apabila air Sungai Seine meningkat setinggi 8.65 meter.