Selepas lima bulan tidak bersidang, penggubal undang-undang India kembali ke Parlimen pada Isnin.

Persidangan tersebut adalah bagi membincangkan langkah seterusnya untuk membendung penularan COVID-19 yang semakin meningkat di negara itu selain membincangkan isu ekonomi dan hubungan bersama China.

Sesi persidangan itu akan diadakan selama 18 hari.

Penggubal undang-undang kembali bersidang dengan mempraktikkan langkah keselamatan seperti menggunakan pelitup muka dan menjarakkan kedudukan ketika bersidang dan tempohnya disingkatkan.

Sesi kali ini juga dijangka bakal membidas langkah yang diambil Perdana Menteri, Narendra Modi dan kerajaannya dalam menangani krisis pandemik tersebut.

Pada Isnin, lebih 92,000 kes baharu positif COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu adalah lebih 4.8 juta kes dengan lebih 79,000 kes kematian dilaporkan.