LONDON: PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson menafikan dakwaan telah menerima amaran dan nasihat untuk tidak menghadiri parti Krismas yang diadakan di Number 10 Downing Street yang dianjurkan Mei tahun lalu.

Katanya, beliau menyangka parti berkenaan adalah merupakan majlis kerja dan tidak diberi peringatan awal bahawa ia melanggar perintah sekatan yang dilaksanakan ketika itu.

"Saya ingin memberitahu bahawa tidak ada seorang pun yang memberitahu saya bahawa majlis ini melanggar peraturan (sekatan) COVID-19 yang dilaksanakan atau diberitahu bahawa parti berkenaan bukannya majlis kerja.

"Sejujurnya, saya tidak tahu mengapa penganjurannya diteruskan atau dibenar untuk diadakan.

"Seingat saya, saya pergi ke sana dalam masa kira-kira 25 minit dan menyangka parti itu adalah majlis kerja yang mana saya menyapa dan berterima kasih kepada pekerja.

"Kemudian saya kembali ke pejabat saya dan meneruskan kerja. Seikhlasnya saya ingin memohon maaf kepada orang ramai atas salah sangka yang telah dilakukan. Ini adalah merupakan penjelasan terbaik saya berkenaan isu ini," katanya dilaporkan media tempatan.

Beliau dalam masa sama turut menafikan telah menerima emel jemputan ke acara berkenaan sebelum ia tular di media.

Terdahulu, Johnson didesak untuk meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri kerana melanggar perintah sekatan COVID-19 yang dirangka kerajaannya dengan menghadiri acara sambutan parti Krismas yang diadakan di 10 Downing Street.

Beliau dalam masa sama dituduh menipu berkenaan kenyataannya terhadap insiden berkenaan dengan menafikan bahawa telah diberi amaran parti berkenaan melanggar perintah sekatan.