Beberapa parti pembangkang di Singapura tampil bersama untuk meneroka kemungkinan menjalin kerjasama lebih rapat untuk membentuk satu barisan bersatu pada pilihan raya akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Parti Demokratik Singapura (SDP) berkata ia mengambil peluang untuk mencadangkan supaya calon presiden Dr Tan Cheng Bock membantu menerajui usaha membentuk gabungan itu.

SDP pada Sabtu menganjurkan majlis makan tengah dan mereka yang hadir mengalu-alukan langkah tersebut.

"Melalui pengalaman dan kepimpinannya, SDP yakin bahawa Dr Tan mampu memimpin usaha ini," kata Setiausaha Agung SDP, Dr Chee Soon Juan.

Menurut kenyataan itu, majlis makan tengah menyaksikan pemimpin dan wakil pelbagai parti pembangkang menzahirkan semangat untuk menjalin kerjasama lebih rapat antara satu sama lain.

Majlis tersebut dihadiri oleh pemimpin Kuasa Rakyat, Parti Kuasa Rakyat, Parti Progresif Demokratik, Parti Reformasi, Parti Perpaduan Nasional dan Parti Warga Diutamakan.

"Sekiranya anda mahu saya memimpin, maka kita perlu mengutamakan negara dahuilu. Jika kita bertanding, kita harus bertanding sebagai satu pasukan," kata Dr Tan, bekas anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura itu.

Beliau menghadiri mesyuarat tersebut sebagai pemerhati.

Pada pilihan raya umum yang terakhir Singapura yang diadakan pada 2015, PAP memenangi 83 daripada 89 kerusi yang dipertandingkan dalam parlimen Singapura. -- Bernama