Parti pembangkang utama India, Kongres Kebangsaan India (INC) telah mengeluarkan senarai pertama calonnya menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang, lapor agensi berita China Xinhua.

PRU India dijangka berlangsung pada bulan April hingga Mei 2019 meskipun jadual sebenar belum diumumkan.

Sebanyak 15 nama telah diumumkan dalam senarai calon pertama INC termasuk Presiden Parti Rahul Gandhi serta ibunya, Sonia Gandhi yang masing-masing akan bertanding di kerusi parlimen Amethi dan Rae Bareli, yang terletak di utara negeri Uttar Pradesh.

Daripada 15 kerusi parlimen yang nama calonnya diumumkan, 11 adalah dari Uttar Pradesh manakala empat lagi dari Gujarat.

Rahul adalah anak, cucu serta cicit tiga bekas Perdana Menteri India iaitu Rajiv Gandhi, Indira Gandhi serta Jawaharlal Nehru, yang juga Perdana Menteri pertama negara itu.

Beliau telah mewakili kawasan parlimen Amethi sebanyak tiga kali sejak 2004.

Sonia Gandhi, balu Rajiv, pula telah dipilih menjadi anggota parlimen sejak 1999. Ini merupakan kali keenam beliau bertanding.

Menariknya, adik perempuan Rahul, Priyanka Gandhi Vadra, yang baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha Agung INC, tidak disenarai sebagai calon parti itu.

Priyanka telah ditugaskan untuk menjaga proses pilihan raya di 41 kerusi parlimen di timur Uttar Pradesh.

Terdapat sejumlah 80 kerusi parlimen di Uttar Pradesh.

-- BERNAMA