Sepasang suami isteri pekak dan bisu yang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah mendapat rawatan di hospital, maut ditembak di Pattani, selatan Thailand hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang (waktu tempatan) di Kg Tolang Jalan Pattani-Narathiwat, pasangan suami isteri itu sedang menaiki motosikal pulang dari Hospital Pattani ke rumah mereka di Panare, Pattani.

Ketua Polis Daerah Yaring, Kol Pol Mustafa Manik berkata mangsa, Rachawud Keawsi, 36, terkena tembakan di bahagian dada, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Supassorn Pajjimanon, 28, terkena tembakan di bahagian dada serta kepala, meninggal dunia di Hospital Yaring.

Beliau berkata mangsa dipercayai ditembak oleh sekumpulan lelaki yang memakai penutup muka.

"Ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian, kumpulan itu turut melepaskan tembakan ke arah polis yang sedang bergegas ke tempat kejadian. Namun tiada yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan itu," katanya.

-- BERNAMA