FOLKESTONE: Patung gergasi yang menggambarkan seorang gadis pelarian Syria tiba di pantai tenggara England, pada Selasa.

Patung setinggi 3.5 meter itu sebagai sebahagian daripada kempen berjalan kaki sejauh 8,000 km di seluruh Eropah untuk meningkatkan kesedaran mengenai nasib pelarian muda.

Patung itu diberi nama "Little Amal" yang bermaksud harapan dalam bahasa Arab disambut oleh pelakon Jude Law di pinggir laut Folskestone.

Dikendalikan oleh tiga orang, boneka itu berada dalam perjalanan terakhir sejauh 8,000 kilometer ke seluruh Eropah.

Patung itu berangkat dari sempadan Turki-Syria pada Julai lalu dan telah disambut oleh ribuan orang di sepanjang jalan termasuk Pope Francis di Rom.

Little Amal dicipta oleh syarikat Hadspring yang membuat boneka kuda untuk pementasan teater West End dan Broadway 'War Horse'.

Patung itu direka sebagai sebahagian daripada 'The Walk' yang merupakan festival seni perjalanan dan berharap dapat meningkatkan kesedaran akan masalah yang dihadapi oleh pendatang muda.

Idea perjalanan Little Amal untuk mencari abangnya berkembang dari 'The Jungle', sebuah drama mengenai penghijrahan dan pelarian.

Dihasilkan oleh Good Chance Theatre, ia diletakkan di sebuah kem utara Perancis di mana pendatang berkumpul dengan harapan dapat ke Britain.

Pendatang dari seluruh dunia telah lama menggunakan utara Perancis sebagai kawasan utama untuk sampai ke Britain.

Kira-kira 20,000 individu telah menyeberangi laluan itu ke England melalui bot pada tahun ini.

Perjalanan Little Amal akan diteruskan ke seluruh England sebelum berakhir di Manchester, pada 3 November.

Pada Ahad, patung itu akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 di London, bersama dengan anak-anak yang telah dijemput untuk menyertai persembahan dan bengkel.

Rombongan patung 25 orang itu kemudian akan melakukan perjalanan ke tempat-tempat lain di London, termasuk Teater Nasional, Somerset House dan Trafalgar Square.

Mereka juga akan menyusuri jalan-jalan di Oxford, di samping patung gergasi Alice in Wonderland.