Lebih 3,000 orang menandatangani petisyen menentang pembinaan patung Mahatma Gandhi di Blantyre dengan alasan wira kemerdekaan India tersebut tidak mempunyai sebarang sumbangan ke atas negara Afrika Selatan itu.

Kerja pembinaan patung itu bermula dua bulan lalu di sebuah jalan yang dinamakan sempena nama tokoh berkenaan, dan menurut kerajaan Malawi, ia dibina sebagai sebahagian daripada perjanjian yang bakal menyaksikan New Delhi membina sebuah pusat konvesyen di Blantyre.

Penentang projek mendakwa, Gandhi yang berada di Afrika Selatan pada awal kariernya dari 1893 hingga 1914 dan berjuang menentang undang-undang pemisahan di era apartheid, adalah seorang yang bersifat perkauman.

"Mahatma Gandhi tidak pernah menyumbang terhadap perjuangan kemerdekaan dan kebebasan Malawi.

"Penduduk merasa seperti dipaksa menerima patung berkenaan dan ia merupakan usaha kuasa asing yang mahu menonjolkan dominasi mereka di Malawi," menurut kenyataan dari kumpulan 'Gandhi Must Fall' yang menentang pembinaan patung terbabit.

"Kami tidak selesa dengan ideologi imperialistik dan neo-kolonial yang berusaha untuk mengenakan pengaruh asing yang menidakkan maruah kami," kata salah seorang anggota kumpulan berkenaan, Wonderful Mkutche.

Namun, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negara, yang mempertahankan projek itu berkata, Mahatma Gandhi mempromosikan nilai kesederhanaan, memerangi kejahatan sosial, mempromosikan hak kemanusiaan dan kebebasan sivil serta meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat .

"Perlu diingat semua pejuang kemerdekaan Afrika yang bertempur melawan penjajahan dan penindasan dipengaruhi oleh perjuangan Mahatma Gandhi.

"Dalam erti kata lain, Gandhi adalah model pejuang hak asasi manusia untuk Afrika dan India," katanya.

Malawi dan India memulakan hubungan diplomatik pada 1964 dan New Delhi merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada negara berkenaan. - Agensi