Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB didakwa tidak mengambil sebarang tindakan selepas mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu keganasan di Gaza antara tentera Palestin dan Israel.

Wakil Tetap Pemerhati Misi Palestin ke PBB Riyad Mansour, mengaku beliau kecewa apabila masih tiada sebarang tindakan drastik bagi menghentikan keganasan itu dibuat badan dunia itu.

"Penduduk Palestin kecewa dengan Majlis Keselamatan yang tidak mengambil tindakan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel.

"Malah tiada sebarang kenyataan mengutuk pembunuhan beramai-ramai terbabit dan mengenakan tindakan kepada yang sewajarnya kepada Israel," jelasnya.

Riyad turut menuding jari terhadap Amerika Syarikat kerana keengganan negara itu membenarkan Majlis Keselamatan untuk dipertangungjawabkan ke atas apa yang berlaku di Gaza.

Malah AS juga dilihat enggan melakukan mesyuarat terbuka bagi membincangkan isu terbabit.

Pendirian terbaharu badan itu juga dilihat bertentangan dengan apa yang telah ditegaskan oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang menyeru agar "penyiasatan bebas dan telus" dilakukan ahli Majlis Keselamatan bagi mengurangkan ketegangan di Gaza.

Mengulas lanjut Riyad menegaskan untuk terus bekerjasama dengan Kuwait dan rakan-rakan lain di Majlis Keselamatan untuk melihat apakah langkah lain yang boleh dilakasanakan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Kuwait dan kawan-kawan kami yang lain untuk melihat sama ada Majlis Keselamatan akan, sebenarnya, menanggung tanggungjawabnya dan mengambil langkah perlu bersesuaian dengan kedudukan badan itu." jelasnya.

Katanya Majlis Keselamatan tidak seharusnya berterusan memandang mudah dalam soal Palestin.

Selain itu badan tersebut juga dilihat harus konsisten dan bertindak dengan cara yang sistematik dengan menegakkan dan menghormati undang-undang antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan dan membenarkan Majlis Keselamatan bertindak secara bertanggungjawab.