Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengeluarkan resolusi khusus bagi menangani krisis kemanusiaan dan keganasan yang dihadapi etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.

Wakil Khas PBB bagi konflik keganasan seksual, Pramila Patten meggesa Majlis Keselamatan PBB agar merangka resolusi baharu bagi membela nasib etnik terbabit khususnya yang menjadi mangsa rogol tentera junta Myanmar.

"Sejak tiga hari lalu saya mendengar cerita-cerita yang memilukan dan mengerikan tentang kekejaman seksual yang dilaporkan telah dilakukan ke atas etnik Rohingya.

"Kes ini dilaporkan secara langsung oleh kakitangan perubatan antarabangsa dan pembekal perkhidmatan lain yang beroperasi di kawasan itu," jelasnya pada sidang perbincangan isu Rohingya pada Selasa.

Menurut Patten sejak 25 Ogos lalu, jumlah pelarian etnik Rohingya memburuk dengan jumlah terbaharu mencecah 626,000 orang di Bangladesh.

"Ancaman dan penggunaan kekerasan seksual yang meluas telah digunakan sebagai faktor utama bagi memaksa penghijrahan secara besar-besaran etnik terbabit.

"Dan ini jelas dilihat sebagai sebahagian usaha negara itu menghapuskan etnik Rohingya," tambahnya.

Tegasnya lagi PBB berpendapat bahawa tentera junta Myanmar secara sistematik menggunakan jenayah rogol sebagai alat melancarkan keganasan yang bertujuan untuk menghapuskan etnik Rohingya.

Patten berkata komuniti antarabangsa mesti mengambil tindakan segera untuk menyokong kerajaan Bangladesh untuk menampung pelarian dan bekerjasama dengan kerajaan Myanmar untuk menangani isu terbabit.

Bagaimanapun selepas siasatan ketenteraan dalaman dibuat bulan lalu, angkatan bersenjata Myanmar membuat kesimpulan bahawa tiada sebarang bentuk serangan berlaku seperti yang didakwa PBB dan komuniti antarabangsa.