Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel untuk tidak meneruskan rancangan merampas wilayah Tebing Barat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata langkah itu akan 'melemahkan' penyelesaian dua negara.

"Kami telah menyampaikan mesej secara konsisten bahawa rampasan bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, tetapi akan menjadi faktor utama untuk mengurangkan kestabilan rantau itu.

"Ini akan menjadi sesuatu yang akan melemahkan apa yang saya percaya keperluan, yang merupakan penyelesaian dua negara di mana Israel dan Palestin dapat hidup bersama dalam kedamaian, saling menghormati dan saling menjaga keselamatan.

"Saya harap seruan ini, bukan sahaja daripada saya, akan bergema di seluruh dunia, didengari pihak berkuasa Israel dan rampasan ini tidak akan berlaku pada 1 Julai," kata Guterres.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjanji untuk merampas penempatan di tebing barat dan lembah Jordan yang strategik.

Israel merampas Tebing Barat dalam Perang Timur Tengah 1967 dan membina puluhan penempatan yang kini menjadi tempat tinggal kepada hampir 500,000 rakyat Israel.

Rakyat Palestin mahukan wilayah itu sebagai pusat negara mereka pada masa hadapan.

Sebilangan besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Rakyat Israel berhimpun bantah rampasan wilayah Tebing Barat