Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 19 November sebagai Hari Tandas Sedunia susulan cadangan dari Singapura dimana wakilnya tidak kisah jika ada yang menganggap ini sebagai jenaka lucu.

“Saya pasti ramai dikalangan media dan orang awam akan tertawa apabila membaca laporan bahawa PBB mahu mengisytiharkan Hari Tandas Sedunia,” kata charge d'affaires Singapura Mark Neo sebelum mendapat sebulat suara Perhimpunan Agung PBB yang menyokong langkah berkenaan.

"Mereka boleh ketawa, terutamanya jika mereka boleh mengiktiraf kenapa terdapat halangan terhadap perbincangan terbuka dan serius tentang masalah kebersihan diri dan kebersihan tandas di seluruh dunia," kata Neo kepada perhimpunan yang mempunyai 193 ahli.

Duta itu menegaskan bahawa 2.5 bilion orang di seluruh dunia tidak mempunyai kebersihan yang betul, bahawa 1.1 bilion orang membuang air besar di tempat terbuka dan penyediaan tandas boleh menyelamatkan kehidupan lebih daripada 200,000 kanak-kanak setiap tahun.

Singapura mengambil langkah ini atas usaha Jack Sim, warganegara Singapura yang dikenali sebagai "Mr Toilet" kerana usaha beliau untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas di seluruh dunia.

Timbalan Setiausaha Agung PBB Jan Eliasson memuji tindakan Singapura. "Kebersihan tandas yang betul adalah soal maruah asas," kata Eliasson.