Seorang remaja Islam perempuan berusia 15 tahun telah dilarang memakai skirt panjang sebanyak dua kali oleh sekolahnya di Perancis.

Media di negara itu melaporkan larangan pemakaian itu dikatakan dibuat bagi mengelak mana-mana pelajar melihatnya sebagai tindakan yang memaparkan aktiviti agama.

Negara sekular itu sebelum ini telah mengeluarkan undang-undang ketat mengharamkan pelajar-pelajarnya memakai apa-apa simbol agama secara terang-terangan di mana-mana institusi pendidikan.

Pelajar Islam berkenaan, dikenali sebagai Sarah, sudahpun menanggalkan hijabnya sebelum memasuki sekolah kerana menurut undang-undang negara tersebut.

Namun, skirt panjangnya dilihat sebagai mengancam keamanan dan boleh menyebabkan berlakunya protes.

“Pelajar wanita berkenaan tidak terkecuali. Dia telah diarahkan pulang ke rumah dan kembali ke sekolah dengan berpakaian normal,” kata seorang pegawai kerajaan kepada AFP.

Berita itu mencetuskan bantahan di media sosial sehingga tercetus hashtag #JePorteMaJuppeCommeJeVeux ("saya memakai skirt saya kerana saya suka").

Bercakap kepada akhbar tempatan L'Ardennais, Sarah berkata, tiada yang istimewa pada skirtnya dan tidak jarang serta tiada tanda agama.