Dua pelajar sekolah menengah di Ohio, Amerika Syarikat didapati bersalah merogol seorang pelajar berusia 16 tahun menarik perhatian masyarakat seluruh negara.

Trent Mays, 16 tahun dan Malik Richmond, 17 tahun dilaporkan mabuk ketika menyerang gadis itu selepas menghadiri satu majlis di bandar Steubenville.

Selain itu, gambar dan video aksi rogol tersebut turut tersebar di laman sosial sehari selepas kejadian.

Mangsa dikatakan terlalu mabuk ketika dirogol dan tidak mengingati apa yang berlaku kepadanya pada malam kejadian.

Video yang tersebar di laman sosial akhirnya dtemui sekumpulan penggodam yang kemudiannya menuduh komuniti bandar Steubenville dengan sengaja merahsiakan kejadian itu daripada masyarakat luar.

Tertuduh Mays dan Richmond merupakan pemain bola sepak pasukan sekolah yang terkenal dengan nama “Big Reds”, bakal dilucutkan daripada pasukan kerana terlibat dengan aktiviti jenayah.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah sambil menangis ketika keputusan dibacakan di mahkamah oleh hakim Tom Lipps.

Mereka dijatuhkan hukuman sekurang-kurangnya satu tahun dalam tahanan juvana.