Percutian buat pasangan suami isteri menjadi mimpi ngeri tatkala suaminya maut gara-gara melakukan aktiviti terbang kelawar (zipline) setinggi 12 meter di pusat pelacongan popular di Utara Thailand.

Memetik laporan portal berita The Mirror UK, mangsa yang berusia 25 tahun itu, maut di tempat kejadian selepas tali keselamatannya putus lalu terjatuh ke dalam sungai.

Menurut polis tempatan, mangsa ketika itu sedang mengikuti satu aktiviti pengembaraan popular di Chiang Mai yang terkenal dengan keindahan kehijauan hutan, air terjun dan binaan kuil Buddha yang sering menjadi tumpuan pelancong.

“Mangsa jatuh lalu maut ketika melakukan aktiviti zipline pada Sabtu,” kata Mejar Sakarin Wiratsaken, jurucakap polis daerah Mae On, Chiang Mai.

Pihak berkuasa telah menyerahkan segala bukti berkaitan bagi siasatan lanjut dijalankan.

“Segala bukti di tempat kejadian akan diserahkan kepada pihak forensik dan setakat ini, tiada suspek yang ditahan bagi membantu sisatan berhubung insiden tersebut,” ujar Sakarin kepada AFP.

Behubung kejadian itu, syarikat terbabit menghentikan aktiviti berkenaan dan akan beroperasi semula selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.