KETIKA umat Islam lain di dunia ini sudah melalui hampir separuh Ramadan menikmati pelbagai juadah berbuka puasa, nasib pelarian yang tiba di Brazil bergantung kepada pihak masjid di sana.

Masjid tertua di di Amerika Latin yang dibina sejak tahun 1929 menawarkan bantuan kepada lebih 2,000 orang pelarian.

“Ini adalah masjid pertama di Amerika Latin, ia menjadi tempat rujukan utama di sini sejak ia dibina,” kata pentadbir masjid, Labil Charif.

Antara bantuan yang ditawarkan adalah kursus bahasa Portugis, selain menyatukan mereka dengan masyarakat, makanan dan pakaian, tetapi bergantung juga kepada barangan derma yang diterima.

“Selain daripada menawarkan kelas agama secara percuma dan kursus, kami juga menghidangkan makan malam kepada mereka.

“Pada bulan yang mulia ini, umat Islam mula berpuasa dari terbitnya matahari sehingga terbenam dan kami yang berkhidmat di masjid mengambil tanggungjawab ini untuk memberi mereka makanan,” tambah Charif.

Masjid itu menjadi tempat rujukan utama penduduk dan pelarian di negara ini sejak ia dibina.

Menurut salah seorang pelarian dari Syria, Razan Sulaiman, berjauhan dengan keluarga adalah cabaran utama kepada seseorang.

“Saya telah menetap di Brazil selama empat tahun, kebiasaannya setiap tahun menyambut Ramadan bersama keluarga tetapi sekarang tidak lagi dan ia membuatkan saya berasa sangat sedih,” ujar Razan.

Ramadan adalah bulan di mana umat Islam memperbanyakkan amal ibadah. Semasa berpuasa, mereka harus menahan nafsu daripada makan, minum serta merokok bagi memberi tumpuan kepada amalan dan pembersihan jiwa.

Islam adalah agama minoriti di Brazil. Islam pada awalnya dibawa ke bumi Samba itu menerusi kemasukan golongan hamba dari Afrika dan seterusnya melalui penghijrahan pendatang dari Lubnan dan Syria.

Agama Islam tidak tercatat dalam senarai agama utama di Brazil, ebaliknya hanya dikelompokkan dalam kategori ‘agama lain-lain’.

Secara amnya hanya satu peratus daripada populasi Brazil beragama Islam.