Apabila Daniel Essa melarikan diri dari Syria pada 2014, masa depannya di Perancis sungguh tidak menentu. Tidak ramai yang dikenalinya, apatah lagi bertutur dalam bahasa Perancis dengan fasih.

Sungguhpun demikian, beliau kini menjual jenama kasut mewah karyanya sendiri kepada golongan mewah dan hartawan Perancis serta Hollywood.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang menuntut dalam jurusan fesyen di Damsyik, terpaksa mengorbankan kerjaya yang diimpikannya di tanah airnya sendiri dan melarikan diri dari peperangan ke Lille, berdekatan dengan sempadan Belgium.

Kasutnya yang kelihatan ringkas tapi bergaya dijual secara purata pada harga 330 euro (RM1,459) setiap pasang.

Pelakon Whoopi Goldberg adalah antara mereka yang sudah membuat tempahan, Essa memberitahu Reuters.

Kedai pertamanya dijadual dibuka dalam masa dua minggu. Kasut-kasut beliau sudahpun dijual di kawasan orang kaya seperti Beverly Hills, Paris dan Ajaccio, Corsica.

Essa mula belajar menjahit daripada neneknya, tetapi terpaksa meyakinkan ibu bapanya bahawa bidang fesyen bukan hanya untuk wanita saja.

"Semua ahli keluarga saya yang lain membantah, kerana ia bukan kerja lelaki, ia kerja wanita. Jadi ia merupakan rahsia antara nenek dan saya, tanpa pengetahuan keluarga," kongsi Essa.

Hati Essa berbelah bagi untuk meninggalkan Damsyik, yang tidak terjejas teruk akibat peperangan berbanding tempat asalnya di Homs.

Ketika itu Essa sudahpun membuka sebuah bengkel dan kedai di ibu kota Syria itu.

Setiap pasang kasut rekaan Daniel Essa dilengkapi dengan perkataan 'Kebebasan' 'Ciuman' atau 'Keamanan'.

"Setiap orang bercakap tentang keamanan dunia, tapi saya benar-benar berharap kita akan dapat mengecapi keamanan di dunia ini," Essa meluahkan harapannya. - CNA