Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mula membawa pelarian Afrika ke Itali dari Libya pada Jumaat, memindahkan mereka dari pusat tahanan yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak berperikemanusiaan.

Ratusan ribu pendatang itu sebelum ini melarikan diri dari konflik atau kemiskinan di kampung halaman mereka, dan kini terperangkap di Libya, di mana mereka berharap untuk masuk ke Eropah melalui Itali dengan bantuan penyeludup.

Ia kali pertama Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) di Libya memindahkan pelarian secara langsung terus ke Eropah.

Menurut Menteri Luar Itali, Marco Minniti, ia disifatkan sebagai hari yang penuh bersejarah dalam usaha negara dunia terutama Eropah dalam menangani isu kemanusiaan.

"Untuk pertama kalinya, koridor kemanusiaan dibuka dari Libya untuk ke Eropah, dan ini adalah satu permulaan yang amat baik," jelasnya.

Sejumlah 162 pelarian dari Eritrea, Habsyah, Somalia dan Yaman diterbangkan ke Itali pada Jumaat dan Sabtu menggunakan pesawat tentera Itali.

Mereka terdiri daripada ibu tunggal, kanak-kanak tanpa penjaga dan orang kelainan upaya (OKU).

Mengulas perkembangan tersebut, wakil khas UNHCR bagi Mediterranean, Vincent Cochetel berkata, ia satu langkah bijak yang sepatutnya dipersetujui lebih awal bagi menangani krisis kemanusiaan itu.

"Kebanyakan pelarian yang dibawa keluar hari ini menceritakan keperitan yang dialami mereka setelah dipenjarakan oleh penjenayah pemerdagangan manusia yang tidak berperikemanusiaan," jelasnya.

Libya merupakan antara negara berhampiran Laut Mediterranean yang sering menjadi sasaran warga pelarian yang mencari suaka politik di Eropah sejak 2011.

Penghantaran kumpulan pelarian pertama ke Itali itu adalah susulan gesaan dan rayuan PBB agar negara dunia tampil membantu menangani konflik kemanusiaan di Libya yang disifatkan sebagai parah.

Ia juga susulan penyiaran rakaman oleh media antarabangsa tentang aktiviti perhambaan melibatkan 1,300 pelarian yang dilakukan kumpulan penjenayah di Libya.

Masalah lambakan dan kelewatan negara dunia memberi tindak balas dalam isu terbabit dilihat diperguna penjenayah terbabit.