Pelawak terkenal, Bill Cosby, 81 tahun, dijatuhi hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun selepas didapati bersalah meletakkan dadah dalam minuman Andrea Constand serta melakukan gangguan seksual di rumahnya 14 tahun lalu.

Mahkamah daerah Montgomery menolak permohonan ikat jamin Cosby sekali gus menyaksikan beliau bermalam di penjara sementara menanti proses rayuan oleh pihak pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Steven O’Neill mengklasifikasikan Cosby sebagai ‘pemangsa yang sangat bahaya’, yang memerlukannya melalui proses kaunseling pesalah jenayah seks seumur hidup.

Turut dikeluarkan, amaran berhati hati kepada komuniti di mana beliau menetap.

Pelakon yang pernah dikenali sebagai 'America's Dad' itu turut diarah membayar denda AS$25,000 serta kos guaman pihak pendakwa raya.

Cosby didakwa melakukan jenayah tersebut pada 2004 sebelum mangsa, seorang pentadbir olahraga sebuah universiti, membuat laporan polis, namun pihak pendakwa raya enggan memulakan prosiding pertuduhan.

Namun 10 tahun kemudian, sekumpulan wanita mendakwa Cosby melakukan jenayah sama ke atas mereka.

Ia membawa kepada kumpulan pendakwaan baharu memulakan kes mahkamah sebelum beliau ditahan pada 2015.

Keputusan juri ketika itu tergantung sebelum prosiding seterusnya menyaksikan Cosby akhirnya dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah.

Ramai menyifatkan Cosby cuba melepaskan diri dengan menggunakan pengaruhnya selaku selebriti televisyen terkenal, namun sejak #MeToo tercetus, nada mahkamah berpihak kepada mangsa.