BAS pasukan kelab bola sepak Jerman, Borussia Dortmund, diserang dengan bom pada Selasa ketika mereka dalam perjalanan ke perlawanan suku akhir Piala Juara-Juara menentang pasukan Monaco.

Tiga letupan yang berlaku kira-kira jam 7.15 malam waktu tempatan berhampiran hotel penginapan pasukan itu di daerah Hoechsten itu telah memecahkan tingkap bas mereka.

Pemain pertahanan Sepanyol, Dortmund, Marc Bartra kemudian dikejarkan ke hospital selepas mengalami retak pada pergelangan tangan kanannya dan beberapa kecederaan pada lengan.

Menurut Ketua Polis Dortmund, Gregor Lange, bahan letupan masih belum ditemui dan tujuan serangan masih tidak jelas.

"Pada masa ini ia masih tidak jelas apakah motif dan latar belakang insiden tersebut," kata Lange.

Dalam pada itu, polis Jerman dikatakan sedang menyiasat sekeping surat yang dikatakan ditemui dekat tempat kejadian, namun kandungannya tidak didedahkan.

Perlawanan itu ditangguhkan dan dijadualkan semula untuk hari ini.