Ternyata cerita berkaitan Pokemon GO belum berakhir kerana ia terus mencetus pelbagai 'gangguan' di setiap negara.

Terbaru, waris mangsa dan mereka yang terselamat daripada cengkaman kuku besi rejim Khmer pada Rabu menyatakan kemarahan kepada pengguna permainan itu.

Ini berikutan para pemain Pokemon GO memenuhi ruang Muzium Tuol Sleng yang menyimpan tinggalan peristiwa pembunuhan besar-besaran di Kemboja.

Muzium yang dahulunya sebuah penjara itu menjadi tempat penyeksaan dan pembunuhan di bawah pemerintahan kejam, dan ia kini menjadi tempat persemadian ribuan rangka, jasad dan gambar kenangan mangsa korban.

Aplikasi permainan di telefon pintar itu sudah diaktifkan di Kemboja pada Sabtu seiring dengan di negara-negara Asia Tenggara lain.

Namun permainan itu - yang menggalakkan pemainnya bergerak ke serata penjuru untuk mencari makhluk maya - menimbulkan kemarahan selepas pemainnya mengunjungi Tuol Sleng yang menjadi tempat terakhir 15,000 mangsa kekejaman pemerintahan Khmer pada tahun 1975 hingga 1979.

"Ini satu penghinaan kepada roh mangsa yang mati di situ. Ia tempat yang penuh penderitaan. Tidak sesuai untuk bermain di situ,” ujar Bou Meng, 76, yang merupakan salah seorang yang terselamat daripada era kejam tersebut.

Pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja, Youk Chhang, turut menzahirkan rasa kurang senang dengan pengaruh Pokemon GO.

“Muzium ini bukan pusat beli-belah atau taman permainan untuk menangkap Pokemon. Ia adalah kuburan,” tegasnya.

Pengarah Muzium Tuol Sleng, Chhay Visoth, juga mengesahkan terdapat pemain yang memasuki kawasan itu untuk menangkap Pokemon, namun menambah pihaknya telah mengambil langkah agar pengunjung menghormati tempat yang penuh kisah pilu itu.

Sejak pelancaran global, Pokemon GO telah menjadi kegilaan sedunia dengan para pemain memenuhi setiap ceruk jalanan dengan telefon pintar mereka.

Permainan itu menggunakan teknologi lokasi satelit, grafik dan keupayaan untuk ‘mewujudkan’ makhluk kartun di latar sebenar, serta mencabar pemain untuk menangkap dan melatihnya dalam pertempuran.

Walaupun aplikasi itu mendapat pujian kerana mengajak pengguna bergerak di luar rumah, ia juga menimbulkan masalah keselamatan.

Ia bukan kali pertama para pemain Pokemon GO muncul di lokasi sejarah yang sensitif.

Sebuah lokasi memorial Perang Dunia Pertama di Perancis telah dibatalkan dari senarai Pokemon GO berikutan aduan terhadap pemain yang mengunjungi tempat itu untuk berlawan.