Gara-gara tidak puas hati terhadap sindiran dua pelajar sekolah menengah, seorang lelaki di Jakarta ditahan setelah dia mengugut pelajar berkenaan dengan sepucuk pistol.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu itu, lelaki itu sedang melalui satu kawasan di Kemang, Jakarta Selatan sambil memandu Lamborghini jenis Gallardo berwarna jingga.

Tiba di satu lintasan pejalan kaki, dua pelajar yang sedang menyeberang jalan di hadapan keretanya itu bertempik: “Wah, ini mesti kereta bos kau!”

Pemandu yang hanya dinamakan sebagai AM itu terdengar teriakan itu lantas keluar dari keretanya dan melemparkan kata-kata kesat kepada dua pelajar berkenaan, lapor portal berita Kompas.

Ketika dua pelajar itu segera meninggalkan lokasi itu, pemandu berkenaan memaksa mereka berhenti sambil mengacukan senjata api Caliber 32.

Ketua Pegawai Perhubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya, Yusri Yunus, berkata, pemandu itu kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke udara untuk memastikan pelajar-pelajar itu menuruti arahannya.

"Dia menyuruh dua pelajar itu berhenti, tapi tidak dipedulikan. Lalu dikeluarkan senjatanya dan satu tembakan dilepaskan, Kemudian, AM mengejar mereka, lalu dilepaskan tembakan yang kedua. Ketiga adalah ketika dia mengarahkan pelajar itu duduk bercangkung tapi tidak dituruti,” ujar Yusri.

Dua pelajar itu yang tidak berpuas hati dengan keangkuhan AM mengambil keputusan untuk membuat laporan polis, seterusnya suspek ditahan.

Polis turut merampas senjata api Caliber 32, tiga kelongsong peluru yang telah ditembakkan, dan sembilan butir peluru aktif.

Selain berdepan pertuduhan di bawah undang-undang yang memungkinkan dirinya menjalani hukuman setahun penjara, AM juga kehilangan hak pemilikan senjata apinya itu. Kereta Lamborghininya juga disita.

Hasil ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif ganja.