Pihak berkuasa Turki mendakwa Arab Saudi menghantar pasukan pakar sembilan hari selepas wartawan kanan Jamal Khashoggi dibunuh pada 2 Oktober lalu, bagi menghapuskan bukti pembunuhan.

Perkara itu didedahkan media Turki, akhbar Daily Sabah, yang memetik "sumber yang boleh dipercayai" mengatakan pasukan 11 anggota dari Arab Saudi itu tiba di Istanbul pada 11 Oktober.

Akhbar itu sempat merakam gambar dua daripada mereka yang didakwa sebagai pakar kimia dan pakar toksikologi, ketika mereka berada di konsulat Arab Saudi di Istanbul, lokasi di mana Khashoggi dipercayai dibunuh.

Pegawai kanan Turki yang mengesahkan butiran utama laporan tersebut berkata, kedua-dua pakar tersebut dihantar ke Istanbul dengan pengetahuan pihak berkuasa tertinggi Arab Saudi.

Keberadaan mereka di sana, walaupun dikatakan bertujuan menjalankan penyiasatan, sebenarnya bagi menghapuskan bukti pembunuhan sebelum polis Turki dibenarkan memasuki premis, menurut Daily Sabah.

Kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai ahli kimia Ahmed Abdulaziz Aljanobi dan ahli toksikologi Khaled Yahya Al Zahrani, yang menghabiskan masa beberapa hari di Turki bagi menjayakan misi tersebut.

Mereka dilaporkan tiba pada hari yang sama delegasi Arab Saudi bertemu dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, di mana pihak berkuasa Turki menuntut Saudi menjelaskan apa yang berlaku kepada Khashoggi.

BACA: Polis Turki jumpa 'bukti' Jamal Khashoggi dibunuh

Kedua-duanya dilaporkan melawat premis konsulat setiap hari bermula 12 Oktober sehingga 17 Oktober ketika mana pasukan penyiasat dari Turki tidak dibenarkan memasuki bangunan tersebut.

Pada 15 Oktober, Daily Sabah berjaya merakam imej kedua-dua pakar tersebut yang diperoleh dari rakaman kamera litar tertutup di lapangan terbang di Istanbul.

BACA: Pembunuhan Khashoggi: Turki mohon ekstradisi 18 suspek

BACA: Arab Saudi tolak ekstradisi suspek pembunuh Khashoggi

Apabila kehadiran mereka mula dihidu pihak berkuasa Turki, Arab Saudi mengeluarkan kenyataan bahawa kolumnis The Washington Post itu sudah meninggalkan premis tersebut dan mereka gagal mengesan lokasinya.

Pada 20 Oktober, kerajaan Arab Saudi mengesahkan kematian Khashoggi, 59 tahun, kelahiran Arab Saudi yang hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat sejak 2017.

Kata Arab Saudi, menerusi pengumuman di stesen televisyen berita rasmi negara itu, Khashoggi meninggal dunia selepas berlaku pergaduhan antaranya dengan pegawai konsulat di premis tersebut.

Serentak itu, 18 suspek yang merupakan warga Arab Saudi ditahan bagi membantu siasatan.

BACA: Tunang Jamal Khashoggi tuntut ketelusan Arab Saudi

BACA: Imej terakhir Jamal Khashoggi disiar