BEBERAPA pemegang saham utama Facebook Inc menyokong satu cadangan untuk melucutkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg, sebagai Pengerusi syarikat gergasi media sosial itu.

Ini kerana, Facebook didakwa tidak menguruskan beberapa skandal berprofil tinggi dengan betul.

Bendahari syarikat dari Illinois, Rhode Island dan Pennsylvania bersama dengan Comptroller New York City, Scott Stringer, memfailkan kertas cadangan itu secara bersama pada Rabu.

Cadangan itu terdahulu dikemukakan oleh syarikat dana pelaburan Trillium Asset Management pada Jun lalu.

Cadangan yang bakal melalui undi pada mesyuarat tahunan pemegang saham Facebook pada Mei 2019 itu, menggesa lembaga pengarah Facebook untuk membuat peranan lembaga pengerusi satu jawatan yang bebas.