Pemerintah Filipina dan perunding keamanan kumpulan pejuang pembebasan bimbang penyebaran fahaman radikalisme di bahagian selatan negara itu, yang boleh menggugat rundingan damai antara kedua-dua pihak berkenaan.

Mereka menggesa ahli majlis undangan untuk segera meluluskan undang-undang autonomi Islam yang baru di selatan Mindanao untuk menentang fahaman radikal, terutama dalam kalangan remaja Islam.

"Bendera telah dinaikkan, amaran bahaya turut kelihatan" kata Miriam Coronel Ferrer, Ketua Perunding Damai Kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan pemberontak Islam terbesar di Filipina.

Sementara itu, Ketua Perunding Damai bagi MILF, Mohagher Iqbal, berkata pihaknya juga bimbang penangguhan undang-undang berkenaan boleh menjejaskan kedudukan MILF.

"Memang satu fakta yang jelas bahawa terdapat peningkatan fahaman radikal dalam kalangan belia di Mindanaou. Ia memang ada, dengan penyebaran video di mana-mana. Ia juga sukar untuk memerangi fahaman berkenaan," kata Ferrer.

Kumpulan pejuang pembebasan berkenaan telah lama berjuang untuk nasib mereka di selatan Filipina selama lebih empat dekad, dengan konflik ini telah menyebabkan lebih 120,000 terbunuh.

Dalam pada itu, pasukan keselamatan Filipina berkata tiada bukti yang menunjukkan bahawa kumpulan tempatan Islam mempunyai hubungan dengan kumpulan militan yang berpangkalan di Asia Barat walaupun beberapa video yang menunjukkan pemberontak Abu Sayyaf berikar kesetiaan terhadap militan Daish.