Sepasang suami isteri mati ditembak penyerang bersenjatakan pistol dalam kedai perabot mereka di Mukim Thamuang, daerah Thepa di wilayah Songkla, selatan Thailand pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Bahagian ke-9 Lt Jen Ronnasin Phusara, pihaknya menerima laporan tentang kejadian tersebut kira-kira 12 tengah hari (waktu tempatan).

"Hasil siasatan menunjukkan dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol memasuki kedai itu. Mereka menaiki motosikal," katanya kepada pemberita pada Ahad dan menambah, usaha mengesan penyerang serta motif kejadian sedang giat dijalankan.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Uthi Jantarat, 65, yang ditembak di bahagian kepala dan dada serta isterinya, Boontim Jantarat, 63, yang ditembak dari jarak dekat.

Mayat pasangan suami isteri kata Ronnasin, ditemui tidak jauh antara satu sama lain manakala pasukan penyiasat polis menemui sembilan kelongsong peluru 9mm di lokasi kejadian jenayah itu.

Menurut ketua polis itu, kedai perabot milik pasangan itu pernah dibakar oleh individu tidak dikenali lima tahun lepas dalam serangan khianat terhadap wilayah-wilayah di selatan Thailand.

-- BERNAMA