Negeri Maharashtra di India mengarahkan pemilik dan pengendali panggung wayang untuk membenarkan pelanggan membawa makanan sendiri, selain menggesa harga makanan yang dijual dalam premis itu direndahkan.

Reuters melaporkan, arahan tersebut dikeluarkan oleh pejabat menteri Maharashtra.

Kenyataan itu juga menyebut, orang ramai tidak boleh dihalang daripada membawa makanan luar dan pihak kerajaan telah mengeluarkan notis tersebut kepada semua pengendali panggung wayang, ujar Menteri Muda Bekalan Awam dan Perlindungan Konsumer, Ravindra Chavan.

Makanan dan minuman di panggung wayang mewah di India dijual pada harga yang premium berbanding harga runcit pasaran. Kelaziman meletakkan harga sebegitu dilihat sebagai usaha meningkatkan keuntungan pengendali panggung wayang.

Keputusan kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu menyebabklan saham pengendali panggung wayang terjejas, dengan syarikat PVR Ltd dan INOX Leisure Ltd masing-masing menjunam sebanyak 14.1 dan 14 peratus.

PVR Ltd belum memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut, manakala INOX tidak dapat dihubungi Reuters.