Dilahirkan dengan pelbagai masalah kesihatan yang gagal didiagnos, seorang pemuda di India menjadi bahan ejekan penduduk di kampungnya.

Anshu Kumar, 21, dari Jagatpur dilahirkan dengan saiz kepala yang besar, dahi luas dan sepasang mata kecil yang 'memanjang ke tepi'.

Menurut ayah Anshu, Kamlesh, 46, anaknya itu dilahirkan dengan ciri-ciri fizikal yang berbeza dan telah dibawa berjumpa doktor tempatan namun mereka tidak dapat mendiagnosis penyakit Anshu.

Penyakit tersebut menyebabkan Anshu mengalami kesukaran berdiri dan tidak mempunyai rambut.

Dengan gaji kecil sebagai buruh, pemuda itu tidak mampu untuk mendapatkan khidmat doktor pakar bagi merungkai masalah kesihatannya.

Anshu kini sangat berharap kerajaan akan tampil membantu membiayai rawatan perubatan bagi membolehkannya menjalani hidup normal.

Selepas kemunculan sebuah filem Bollywood berkisar tentang makhluk asing, Anshu digelar 'alien' oleh penduduk sekitar.

"Saya kelihatan berbeza berbanding orang lain dan mereka tidak menyukai saya.Kanak-kanak berasa takut apabila melihat saya dan akan melarikan diri.

"Saya cuba untuk tidak menghiraukan mereka, namun saya tidak mampu untuk menutup telinga setiap kali diejek.

"Saya mahu menjadi normal dan berharap untuk berkahwin satu hari nanti," ujar Anshu.