Polis Tunisia dilaporkan telah melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di bandar Ettadhamen bagi menyuarakan bantahan terhadap langkah-langkah penjimatan baharu oleh kerajaan.

Tunjuk perasaan bertukar ganas apabila kalangan pemuda berusia sekitar 20 tahun melempar batu ke arah polis anti rusuhan dan membakar tayar.

Ettadhamen merupakan sebuah daerah miskin di Tunis yang berdepan peningkatan peratus pengangguran.

Pada hari sama, Presiden Beji Caid Essebsi dalam ucapannya berhampiran bandar Tunis telah berjanji untuk meningkatkan pekerjaan bagi golongan muda dan menyelar tindakan tunjuk perasaan terbabit.

Mengulas lanjut, Essebsi berkata rakyat, khususnya golongan muda, beranggapan kerajaan tidak cuba melakukan sesuatu untuk golongan itu.

"Ramai yang mengadu tentang pengangguran dan sangka kita tidak melakukan apa-apa untuk mereka.

"Kami sedia maklum tentang itu dan kami tidak menafikan keperluan golongan tersebut," jelasnya.

Pada Ahad, Essebsi mengumumkan "dana solidariti" untuk keluarga dan golongan yang memerlukan.

Perdana Menteri Youssef Chahed akan memperuntukkan 100 juta dinar atau sekitar AS$40 juta untuk membantu 200,000 keluarga yang memerlukan.

Menurut Menteri Pekerjaan Sosial, Mohamed Trabelsi, hasil mesyuarat Kabinet pada Sabtu malam memperuntukkan penjagaan kesihatan percuma bagi golongan terbabit.

Tunjuk perasaan pada Ahad diadakan pada ulang tahun ketujuh insiden kebangkitan 'Arab Springs' yang menyaksikan sistem demokrasi di Tunisia lumpuh sepenuhnya pada 14 Januari 2011.

Hasil kebangkitan rakyat di Tunisia merebak ke beberapa negara Arab lain termasuk di Mesir.

Pemberontakan yang berlaku pada tahun terbabit menyaksikan kejatuhan pentadbiran Presiden Zine al-Abidine Ben Ali selepas 23 tahun memerintah Tunisia.