Thailand mengumumkan barisan Kabinet baharu Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha selepas pilihan raya umum pada 24 Mac lepas, menurut Warta Diraja pada Rabu.

Raja Maha Vajiralongkorn telah memperkenankan senarai Kabinet itu yang diumumkan dalam Warta Diraja pada Rabu.

Raja Thailand memberi perkenan selepas spekulasi selama berminggu-minggu yang menyaksikan parti-parti gabungan Prayuth yang terdiri daripada 19 parti saling berebut jawatan.

Dalam Kabinet baharu, Prayuth menamakan lima timbalan perdana menteri termasuk penyokong setianya dari kerajaan tentera iaitu Prawit Wongsuwan, Somkid Jatusripitak, Wissanu Krea-ngam. Dua lagi timbalan perdana menteri ialah pemimpin Parti Demokrat Jurin Laksanawisit dan pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul.

Democrat dan Bhumjaithai menyertai Parti Palang Pracharat (PPRP) yang menyokong Prayuth sebagai perdana menteri untuk membentuk kerajaan campuran. Parti itu mendapat beberapa portfolio penting termasuk perdagangan, pengangkutan dan pelancongan.

Prayuth juga ialah Menteri Pertahanan sementara Jurin ialah Menteri Perdagangan dan Anutin ialah Menteri Kesihatan Awam.

Sementara itu, pemimpin parti PPRP, Uttama Savanayana dilantik sebagai menteri kewangan yang baharu sementara setiausaha agung Demokrat Chalermchai Sri-on sebagai Menteri Pertanian dan Koperasi, Setiausaha Agung Bhumjaithai Saksayam Chidchob sebagai Menteri Pengangkutan dan Pipat Ratchakitprakarn dari Bhumjaithai sebagai Menteri Pelancongan sdan Sukan.

Bagaimanapun, beberapa jawatan menteri penting masih kekal disandang oleh bekas menteri kerajaan junta termasuk Don Pramudwinai yang kekal sebagai Menteri Luar dan Anupong Paojinda sebagai Menteri Perindustrian.

Prayuth, bekas pemimpin junta dipilih sebagai perdana menteri, lima tahun selepas rampasan kuasa tentera di parlimen yang menggabungkan 500 anggota parlimen dan 250 senator yang dilantik oleh junta.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Timbalan Jurucakap TKerajaan, Lt. Jen Weerachon Sukontapatipak berkata Prayuth meminta semua menteri untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat dan negara.

"Prayuth aslo menggesa rakyat untuk menaruh kepercayaan kepada kerajaan baharu yang akan memacu negara ke tahap yang lebih tinggi. Kerajaan baharu adalah milik setiap rakyat Thailand dan kami akan bekerjasama untuk semua, " katanya.

-- BERNAMA