Penasihat ekonomi utama Presiden Amerika Syarikat , Gary Cohn menjadi individu terbaharu berundur daripada pentadbiran Presiden Donald Trump.

Cohn dalam satu kenyataan yang dikeluarkan White House memberitahu ia adalah satu penghormatan untuk beliau berkhidmat kepada negara itu.

Beliau juga yakin dasar ekonomi Trump yang pro-pertumbuhan akan memberi manfaat kepada rakyat Amerika.

Trump dalam reaksinya pula menghargai khidmat dan jasa yang dicurahkan Cohn.

Tidak dapat dipastikan sebab utama perletakan jawatan Cohn daripada pentadbiran Trump.

Pemerhati ekonomi berpendapat pengunduran Cohn mungkin ada kaitan dengan tindakan kerajaan Trump melaksanakan tarif import terhadap besi dan aluminium yang mendapat bantahan Cohn.

Namun khabar angin menyatakan hubungan Cohn dan Tump tegang sejak beberapa bulan lalu.

Pada Ogos tahun lalu, Cohn secara terbuka mengkritik cara Presiden Trump mengendalikan kekerasan dalam satu tunjuk perasaan di Charlottesville.

Cohn memberitahu demonstrasi tersebut menyebabkan dia “tertekan” dan mendorongnya untuk menulis surat letak jawatan, tetapi mengubah fikiran dan memutuskan untuk terus bekerja.

Cohn meninggalkan Goldman Sachs setelah dipujuk Trump untuk menjadi Pengarah Dewan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat.