Berita  |  Dunia

Pencemaran teruk: Beijing arah 1,200 kilang henti operasi, kurangkan pengeluaran

Pencemaran teruk: Beijing arah 1,200 kilang henti operasi, kurangkan pengeluaran
Penduduk di Beijing juga semakin 'sesak nafas' dengan keadaan pencemaran yang teruk di bandar raya tersebut. - Foyto AFP
BEIJING: Beijing mengarahkan sejumlah 1,200 kilang sekitar ibu negara tersebut supaya menutup atau mengurangkan hasil pengeluaran berikutan keadaan pencemaran yang semakin teruk.

Reuters melaporkan, pihak berkuasa alam sekitar telah mengeluarkan amaran kod merah bermula Jumaat dan akan aktif sehingga Rabu, susulan keadaan jerebu yang teruk di seluruh kawasan utara China.

Aktiviti trafik dan kerja-kerja pembinaan juga dikawal, selain mengeluarkan garis panduan untuk sekolah, hospital dan perniagaan.

Dalam kenyataan rasmi pemerintah, 500 buah kilang yang diarah menghentikan operasi atau mengurangkan hasil pengeluaran secara drastik.

Antaranya adalah loji pemprosesan minyak Yanshan milik Sinopec yang menghasilkan 10 juta tan setahun, selain kilang besi Shougang Group dan kilang makanan Cofco yang menghasilkan mi segera dan keropok.
Kenyataan itu juga menyenaraikan 700 syarikat lain yang perlu mengganting operasi sementara.

Amaran kod merah dikeluarkan apabila indeks kualiti udara (AQI) diramal melepasi bacaan 200 selama empat hari berturut-turut, atau melepasi bacaan 300 selama dua hari berturut-turut atau naik mendadak ke paras 500 dalam tempoh 24 jam.

Bacaan AQI di Beijing pada Sabtu adalah 120.
Sepuluh bandar di Hebei, yang mengelilingi Beijing memang dikenali sebagai wilayah penghasilan produk besi. Kesemuanya telah diarahkan untuk meminimumkan hasil pengeluaran.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu sedang berdepan masalah kemerosotan kualiti persekitaran selepas berdekad-dekad berlumba-lumba menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.