Berita  | Dunia

Pencipta watak adiwira Marvel, Stan Lee, diselamatkan dari wanita pengganggu hidupnya

Pencipta watak adiwira Marvel, Stan Lee, diselamatkan dari wanita pengganggu hidupnya
Menurut keluarganya, keadaan Stan Lee kini jauh lebih tenang dan sihat.
LOS ANGELES: Orang kuat Marvel Comics, Stan Lee berjaya memperoleh pembaharuan perintah perlindungan pada Jumaat, terhadap seorang pengurus perniagaan yang juga rakan bisnes yang terlalu mencampuri urusan peribadi diri dan keluarganya.

Keya Morgan,42, dalam satu perintah mahkamah diminta menjarakkan diri daripada Lee, 95, sekurang-kurangnya 100 ela (91.4 meter) untuk tempoh tiga tahun lagi, lapor Reuters.

Perintah itu juga menegaskan, Morgan yang turut dikenali dengan nama Keyrash Mazhari, supaya menjarakkan diri daripada anak perempuan Lee, Joan Celia Lee, 68, dan abangnyam Larry Lieber, 86.
Semenjak kematian isterinya, kehidupan Lee dikatakan dikawal Morgan hinggakan kediamannya ‘diambil alih’ oleh Morgan pada Februari dan Lee pula dipindahkan ke sebuah unit kondominium.

Pada awalnya, kehadiran dalam hidupnya antara lain untuk menjadi penasihat tentang hal ehwal perniagaan. Namun, umpama kaduk naik junjung, Morgan pula yang berlebih-lebihan mahu 'menguasai' setiap keputusan Lee.

Malah, wanita itu juga telah mengasingkan Lee daripada teman-teman dan ahli keluarganya.

"Stan Lee dan keseluruhan keluarganya sangat gembira apabila mahkamah bertindak ke atas kes pencerobohan ruang peribadi ini," ujar peguamnya, Jonathan Freund.

Lee yang menjadi pencipta bersama bagi watak ‘Spider-Man’, ‘Iron Man’, dan ‘The Hulk’ dan banyak lagi adiwira lain menjadi tokoh yang disegani dalam budaya pop Amerika Syarikat, khususnya industri filem.

Dikenali para peminat generasi baharu menerusi penampilan cameo dalam filem aksi Marvel, Lee mempunyai nilai pendapatan dan harta puluhan juta dolar.

Ahli keluarga dan teman terdekat memberitahu, keadaan Stan kini bertambah tenang dan sihat.