SEORANG pencuri kenderaan di Amerika Syarikat ditahan polis hanya selepas sejam melakukan jenayah itu akibat gagal menghidupkan enjin sebuah kereta yang dicurinya.

Edward Leroy Wilson pada mulanya mencuri kereta Jeep Grand Cherokee milik seorang wanita yang diparkir di kawasan letak kereta pasar raya Walmart di bandar Minneapolis, Minnesota, dalam kejadian yang berlaku awal minggu ini.

Menurut portal USA Today, pemilik kereta itu pada mulanya menghidupkan enjin ketika dia masih berada di dalam pasar raya menggunakan alat kawalan jauh.

Namun sebaik keluar dari pasar raya itu, dia mendapati kereta itu sudah tiada.

Kira-kira sejam kemudian, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pekerja sebuah bengkel kereta yang memaklumkan dia gagal menghidupkan enjin kereta tersebut.

Polis yang dimaklumkan tentang insiden itu berjaya mengesan Wilson dan menjumpai kereta itu di sebuah kawasan di pinggir bandar.

Wilson, dalam pengakuannya kepada polis memberitahu, "Dari awal lagi saya tahu mencuri kereta itu adalah tindakan bodoh".