Pasukan pendakwa raya Korea Selatan pada Rabu berkata bekas presiden negara itu, Park Geun-hye dilihat ‘secara tidak adil’ berjaya mengelak beberapa dakwaan berkaitan rasuah dalam perbicaraannya.

Reuters melaporkan, pihak pendakwa raya juga tidak berpuas hati dengan hukuman 24 tahun penjara yang dikenakan ke atasnya, memandangkan mereka sebelum ini meminta hukuman 30 tahun penjara ke atas Geun-hye.

Jumaat lalu, Geun-hye telah dijatuhi hukuman tersebut dalam satu perbicaraan tuduhan rasuah yang ikonik dalam sejarah negara berkenaan. Ia antara lain mendedahkan rangkaian amalan penyelewengan antara pemimpin-pemimpin dengan para konglomerat.

BACA: Bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye, dihukum penjara 24 tahun

BACA: Bekas Presiden Korea Selatan didakwa dalam skandal rasuah


“Pejabat Pendakwa Raya telah menemui sebahagian daripada keputusan mahkamah itu ‘membebaskan’ Geun-hye daripada beberapa dakwaan rasuah ke atasnya, dan itu dianggap tidak adil,” lapor agensi berita Yonhap.

Geun-hye yang menjadi pemimpin Korea Selatan pertama dilantik secara demokrasi pada 2012, mengaku tidak bersalah.

Dia telah didenda sebanyak 18 bilion Won (RM65.5 juta) selepas didapati bersalah atas 16 pertuduhan, termasuk rasuah dan salah guna kuasa, yang menyebabkan dia dilucutkan jawatan pada Mac tahun lalu.

Pendakwa raya telah mengenakan 18 pertuduhan ke atasnya dan mengesyorkan denda sejumlah 118.5 bilion won (RM431 juta), selain hukuman penjara selama 30 tahun, namun mahkamah mengecualikannya daripada dua pertuduhan.

Mahkamah mendapati Geun-hye bersalah bersubahat bersama rakannya, Choi Soon-sil, untuk mendapatkan sejumlah 7 bilion Won (RM25.5 juta) masing-masing dari syarikat peruncit Lotte Group dan gergasi teknologi, Samsung, sementara meminta lagi 8.9 bilion Won (RM32.4 juta) daripada syarikat konglomerat tenaga, SK.

Salah seorang daripada peguam Geun-hye mencadangkan rayuan boleh dilakukan selepas perbicaraan, namun masih belum berbuat demikian.

Di Korea Selatan, rayuan perlu difailkan dalam tempoh seminggu selepas keputusan mahkamah dibuat.