Pihak berkuasa Indonesia pada Isnin memberi amaran tentang kemungkinan berlaku letusan susulan Gunung Sinabung.

Gunung berapi aktif di Sumatera itu telah menghamburkan debu pada petang Ahad, hingga kesannya dapat dilihat naik setinggi 7 kilometer ke ruang udara.

Letusan itu telah menimbulkan rasa panik dalam kalangan penduduk tempatan.

Walaupun sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, pihak berkuasa terus memantau aktiviti gunung tersebut, terutamanya tentang kemungkinan berlaku letusan seterusnya.

"Selepas letusan itu, dari tengah malam hingga jam 6 pagi (Isnin), terdapat beberapa gegaran susulan,” ujar saintis bernama Willy, dari pusat cerapan Sinabung.

Pihak berkuasa masih mengekalkan 'paras merah' untuk panduan umum, sementara penduduk tempatan di sekitar lokasi gunung itu diarahkan memakai topeng penutup hidung dan mulut selain sentiasa berada di dalam bangunan untuk mengelak terkena debu panas.

Gunung Sinabung, yang setinggi 2,460 meter adalah antara gunung berapi aktif di Indonesia, namun ia dalam keadaan tidak aktif selama empat kurun sebelum letusan pada 2010.

Indonesia mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif di seluruh gugusan negara tersebut.