Rachel Wanjiru selama ini sudah cukup rumit mendapatkan bekalan air yang mencukupi untuk mencuci tangan anak-anaknya, sebagai amalan penting semasa perintah berkurung akibat penularan COVID-19.

Tapi kini, ada suatu insiden yang lebih buruk menguji - apabila satu kejadian gelinciran tanah dekat kediamannya, di setinggan Kangemi, di Nairobi, telah merosakkan infrastruktur bekalan air bersih itu.

Hujan lebat telah menghanyutkan rentangan paip air utama yang disambung dari belantara di pergunngan Aberdare di utara Nairobi pada minggu lalu. Tidak lama selepas itu, lapor Reuters, syarikat pengurusan air dan kumbahan Nairobi terpaksa menghentikan operasi loji rawatan.

Sekarang ini sebahagian besar penduduk Nairobi, dari kawasan setinggan ke wilayah yang lebih terancang seperti di Lavington dan Kitisuru, tidak lagi mendapat akses bekalan air bersih sekali gus sukar untuk menuruti arahan pemerintah agar sentiasa menjaga kebersihan diri dalam musim wabak.

"Kami hendak menghadap masalah air atau koronavirus? Macam mana kami hendak teruskan hidup jika kami disuruh mencuci tangan selalu?” soal Wanjiru, seorang ibu kepada dua anak yang juga perlu membasuh sayuran yang dijualnya di gerai.

Sebelum ini, dia biasa ke rumah jiran dan membayar 5 shilling (20 sen) untuk mengisi bekas 20 liter dengan air untuk digunakannya.

Sejak bekalan air terhad, dia terpaksa berjalan selama sejam untuk membeli jumlah isipadu air yang sama daripada pengusaha perkhidmatan galian tanah persendirian, namun pada harga empat kali ganda.

Penduduk lain pula bergantung harap pada bekalan air yang dibawa dengan lori ke tempat mereka.

Infrastruktur bekalan air di Nairobi sememangnya gagal berfungsi dengan baik. Pada waktu paling optimum pun, syarikat pembekal air hanya mampu menghasilkan 526,000 meter kubik bekalan, sedangkan permintaan harian adalah pada kadar 810,000 meter kubik.

Sejak kejadian tanah runtuh itu, bekalan terjejas sebanyak 20 peratus lagi.

Situasi itu memaksa aktivis hak asasi manusia, Boniface Mwangi, mendesak kerajaan supaya memberikan bekalan air bersih percuma sepanjang krisis COVID-19 ini.

"Bagi sebuah bandar yang di bawah arahan perintah berkurung berikutan pandemik, kita patuitnya ada air, Kita tidak boleh menerima sebarang alasan lagi," tegasnya.