Penduduk selatan Thailand turut menerima tempias jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia apabila dua wilayah telah mencatatkan kualiti udara tidak sihat, sehingga 5 petang (waktu tempatan).

Hatyai di Songkhla dan Sateng di Yala telah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 149 dan 129.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Songkhla Thananchai Wannasuk berkata pihaknya telah mengeluarkan surat amaran kepada penduduk di lima wilayah - Yala, Pattani, Songkhla, Narathiwat dan Satun semalam berikutan bacaan IPU mencecah 150.

Beliau menasihatkan penduduk mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mengehadkan aktiviti luar selain memakai topeng muka bagi mengurangkan kesan jerebu ke atas kesihatan.

"Daerah Hatyai, Sadao, Muang dan Songkhla adalah antara yang teruk terjejas akibat jerebu. Bilangan penduduk yang dijangkiti penyakit berkaitan jerebu seperti sesak nafas dan sakit mata telah menunjukkan peningkatan ketara.

"Selain itu, jerebu merentas sempadan turut menyebabkan jarak penglihatan merosot di beberapa tempat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Di Betong, Daerah Yala, Jabatan Kesihatan telah mengedarkan 4,500 topeng muka percuma kepada penduduk tempatan yang terpaksa menjalankan aktiviti luar.

Pengarah Jabatan Kesihatan Betong, Wongvit Akraworathai menasihatkan orang ramai, khususnya warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak, pesakit jantung dan paru-paru agar memakai topeng muka ketika berada di luar rumah.

Di Pattani, Gabenor Wilayah Pattani, Kraisorn Visitwong berkata kesemua 12 daerah di wilayah itu turut terjejas akibat jerebu.

"Setakat ini, tiada sekolah diarahkan tutup namun sekiranya bacaan IPU merosot,pengarah sekolah boleh mengambil tindakan segera," katanya.

--BERNAMA