Beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Stansted di Britain terpaksa ditangguhkan pada Jumaat gara-gara sebuah bas ulang alik terbakar di perkarangan lapangan terbang terbabit.

Ia membabitkan ribuan penumpang yang terkandas dan kebanyakannya sedang dalam perancangan percutian ke beberapa destinasi bersempena hari minggu.

Asap tebal yang menyelubungi hampir keseluruhan bangunan terminal di lapangan terbang itu menyebabkan pihak lapangan terbang memindahkan para penumpang ke terminal yang lain atas faktor keselamatan.

Kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 5 petang waktu tempatan yang menyaksikan keseluruhan bas berkenaan musnah.

Visual kebakaran terbabit turut dikongsikan olehn penumpang dan netizen di laman sosial yang menunjukkan bas berkenaan sedang terbakar dan ruang lapangan terbang berkenaan dipenuhi asap tebal.

Bagaimanapun setakat ini tiada laporan kematian atau kecederaan direkodkan oleh pihak berkuasa.