Seorang pengamal ilmu hitam ditahan polis kerana memiliki kepala wanita yang baru dipenggal.

Lelaki terbabit dikenal pasti polis sebagai Taju Olalekan, ditahan di bandar Modina di negeri Oyo pada lewat petang Ahad lalu.

Jurucakap polis, Adekunle Ajisebutu berkata, penahanan suspek berusia 32 tahun itu dibuat selepas menerima maklumat orang awam yang curiga dengan kelakuannya.

"Susulan itu, anggota polis di Idi-Aro telah dikerah ke tempat kejadian dimana suspek akhirnya ditangkap.

"Semasa siasatan, suspek mendedahkan bahawa kepala itu diberikan oleh adiknya Saheed Olalekan, yang kini menyembunyikan diri.

"Siasatan juga mendedahkan bahawa suspek dan anggota kumpulannya menjalankan urus niaga membabitkan anggota badan manusia," kata Ajisebutu.

Tambahnya lagi, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah dan Perisikan (CIID) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, khabar angin mengatakan kumpulan terbabit memerlukan sehingga 100 kepala wanita untuk tujuan ritual sebelum berlangsungnya pilihan raya umum Nigeria tahun depan. - Dailypost